Mahabbaturrasul SAW

MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com

BPI 2012 Coming Soon!!

BPI 2012 Coming Soon!!

Semangat untuk membaca buku

Ashaari's bookshelf: currently-reading

Bekalan di Sepanjang Jalan Da'wah
0 of 5 stars
tagged: currently-reading
Bahtera Penyelamat
0 of 5 stars
tagged: currently-reading
Golongan Yang Tercicir
0 of 5 stars
tagged: currently-reading
Apa Ertinya Saya Menganut Islam
0 of 5 stars
tagged: currently-reading

goodreads.com

Koleksi Bacaan

get this widget here

Tuesday, May 29, 2012

Mengapa PAS bersama Bersih 1, 2 dan 3

Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T)

Rasulullah S.A.W bersabda: “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik.“ Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.

Ucapan  Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W: “Wahai tuan-tuan! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat ......”. Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.

Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain  diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.

Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar  memahami hak  mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di Madinah.

Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan  daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan  politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai.  Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.

Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.

Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England  pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.

Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah  menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan  penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.

Semua yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.

PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.

Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim  secara terbuka dan aman tanpa senjata.

Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut  peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: ”Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul  (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya “.

Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei  seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu  di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.

Bersih adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.

PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah  besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.

Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W: “Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah“.  Sabdanya lagi: ” Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal “.

PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemunkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.

Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya.  Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.

Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

Maksudnya: "Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu." (Surah Muhammad: 38)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Friday, May 25, 2012

Erti Hidup Pada Memberi

بسم الله الرحمن الرّحيم
الهمّ صلّ على سيّدنا محمّد

Alhamdulillah segala puji selayaknya dipanjatkan sepenuhnya ke Hadrat Ilahi. Selawat dan salam sejahtera ke atas Junjungan Mulia Penghulu Orang Bertaqwa Sayyiduna Baginda Nabi Muhammad ShallaLlahu 'alaihi wasallam. Di hari Jumaat Sayyidul ayyam ini, saya mendapat ilham untuk mengupdate teratak yang telah lama bersarang ini. 

Alhamdulillah semalam tamat sudah pengajian sepanjang semester 3 di kampus. Sedikit perkongsian yang ingin saya sampaikan dan kongsikan kepada sahabat-sahabat semua. Apa yang ingin saya kongsikan ialah mengenai erti hidup pada memberi. 

"Duit CD ana bagi masa dauroh."

"Aip x payah.. Hadiah.."

"Lorh, ya ka.. Ana banyak terima hadiah tapi x pernah memberi.. Syukran kathir."

"X pa ana x mengharap pun. Cuma gembira bila orang terima hadiah kita. Doakan ana sokmo deh.."

"InsyaAllah.. Semoga Allah mengurniakan kesabaran, sentiasa berlapang dada dengan teguran, sentiasa mendahului Allah dalam setiap tindakan :-) "

"Ameen.."

Bukan hendak riya' mahupun ujub. Cumanya ingin mengaplikasikan apa yang disarankan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil a.k.a saifulislam.com.. Sekadar memaknakan erti hidup pada memberi. Biarlah dalam hidup kita ini, kita banyak memberi berbanding banyak menerima. Bukan semua orang mempunyai nasib dan peluang seperti kita yang mampu untuk memberi.

Sebenarnya, banyak juga saya menghadiahkan kepada orang lain hadiah. Cumanya, saya lebih gemar menghadiahkan orang benda-benda yang bermanfaat seperti buku dan sebagainya. Sudah tentu buku yang kita hadiahkan itu akan bermanfaat kerana ia boleh bertahan lama. Buku yang kita beri bukan setakat orang yang menerima itu sahaja yang membacanya bahkan rakan-rakan mereka turut akan membacanya.

Sabda Baginda Nabi ShallaLlahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia." [mafhum hadis]

Saya hanya melakukan sekadar kemampuan saya. Jika saya mampu, saya akan memberikannya. Saya berasa gembira andai ia dimanfaatkan bahkan iah lebih baik kerana kita mampu menggembirakan orang lain dengan pemberian kita. Paling utama sekali ialah, saya memohon doa daripada orang yang menerima hadiah itu agar sentiasa mendoakan saya. Mendoakan kesejahteraan, kesihatan, ke'afiatan dan sentiasa di bawah naungan Ilahi.

Kepada mereka-mereka yang pernah menerima hadiah daripada saya, mohon doa berterusan terhadap saya. Mohon agar ditetapkan dalam Iman dan Islam terutamanya. Allahumma ameen..

"Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'aban dan sampaikanlah kami di bulan Ramadhan."

Salam Sayyidul Ayyam..

al-Faqir ilaLlah,
Khadim al-'Ilm asy-Syarif,
ibnu selanjuuri fil al-berlis.

25 Mei 2012 bersamaan 4 Rejab 1433 Hijriyah.

Thursday, May 24, 2012

BPI 2012 Coming Soon!!!

 Bulan Penghayatan Islam 2012 - Coming Soon...

InsyaAllah, penuh dengan program-program bercorak dakwah dan hiburan menurut Islam. Sokongan serta sumbangan anda amat kami alu-alukan bagi menjayakan segala aktiviti dan program yang telah dirancang di IPG Kampus Perlis ini.

"Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan..."
[Surah Al-Maidah : 2]

Nantikan BPI 2012 ^_^

Setakat ini antara program yang telah dicomfirmkan InsyaAllah bersama al-Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar al-Hamid, pimpinan Majlis Ta'alim Darul Murtadza.. ^_^
Rayuan Sumbangan ikhlas untuk Dana Bulan Penghayatan Islam 2012..
 Kepada sesiapa yang berhajat untuk infaq, boleh contact no berkenaan.. 
Syukran.. :)

Wednesday, May 23, 2012

Adab Orang Yang Alim

Assalamualaikum wbt.

Ini sambungan daripada entry sebelum ini yang bertajuk Adab Penuntut Ilmu. Jika seorang yang menuntut ilmu ada adabnya, apatah pula gurunya / orang yang alim.

Sumber : Kitab Sirus Salikin.

Terdapat 17 adab seorang yang alim :

  1. Ihtimal iaitu hendaklah menanggung dan menerima segala kesusahan yang didatangkan oleh anak muridnya iaitu segala pertanyaan dan pekerjaan yang menyusahkannya yakni dia hendaklah bersabar dan tidak cepat marah.
  2.  Luzumul hilm iaitu bersifat lembut dan bukan pemarah.
  3. Menundukkan kepalanya.
  4. Jangan membesarkan diri atas segala hamba Allah swt melainkan atas orang yang zalim kerana menegahkan zalimnya.
  5. Tawadhuk iaitu memilih untuk merendahkan diri dalam perhimpunan orang banyak dan di hadapan orang ramai.
  6. Jangan bergurau-gurau dan bermain-main di dalam perhimpunan orang banyak.
  7. Kasih sayang dengan orang yang belajar kepadanya, berperangai dengan lemah lembut dalam pekerjaan dan perkataan diperlakukan kepada muridnya seperti mereka adalah anaknya.
  8. Menanti dan memperkasa dengan perlahan-lahan atas pertanyaan orang yang jahil dan membaikkan & membetulkan pertanyaan orang yang dungu dan orang yang bebal dengan menunjukkan jalan kebajikan dan benar dan meninggalkan marah serta menghentakkan kaki kepada orang yang baru belajar.
  9. Jangan meminta upah atas mengajarkan tetapi hendaklah ikhlas kerana Allah ta'ala.
  10. Jangan malu daripada berkata "Tidak tahu" pada suatu perkara yang ia syak padanya @ berkata "wallahu a'lam".
  11. Bersungguh-sungguh menghadap orang yang bertanya, dan jika dia tidak memahami soalan, hendaklah dia betul-betul memahaminya supaya dia menjawab soalan yang ditanya.
  12. Menerima dalil yang membenarkan perkataan orang dan muridnya, dan jangan ditolakkan dalilnya kerana guru itu malu kepada orang ramai kerana mengikut yang benar adalah wajib dan jikalau ada beberapa orang yang di bawah kita sekalipun.
  13. Mengikut kepada yang benar dengan kembali kepadanya ketika tersalah ia pada sesuatu masalah atau lancar lidahnya kepada sesuatu yang bukan dari kehendaknya.
  14. Menegah ia akan orang yang belajar ilmu itu akan memberi mudharat kepadanya.
  15. Menegah ia akan orang yang berniat dengan belajar ilmu itu akan memberi manfaat kepada sesuatu yang lain daripada Allah swt.
  16. Menegah ia daripada orang yang belajar ilmu yang fardhu kifayah dahulu daripada selesai mengetahui ilmu fardhu ain.
  17. Hendaklah ia mengamalkan ilmu itu supaya diikuti oleh orang yang belajar ilmu itu akan ilmunya dan perkataannya.

Zahirkan Cinta

Hidupkan Cinta kerana dalam jiwamu ada Cinta..

Cinta adalah sesuatu yang hidup,
membara meronta dalam jiwa,
maka ia perlu dizahirkan,
dengan pelbagai cara,

Menyambut Maulidur Rasul,
adalah bahasa Cinta,
untuk menzahirkan Cinta,
pada kekasihnya yang amat dicintai...

Walid al-Maliki

Monday, May 21, 2012

Bicara Tentang Cinta

Jarang orang berbicara tentang cinta , rindu dan cemburu. Ramai juga yang selalu terlalu prejudis terhadap cinta. Menganggap cinta dan rindu sebagai suatu perkara yang buruk dan menjijikkan. Golongan yang paling ramai berpandangan sedemikian ialah para remaja. Malah golongan remaja jugalah yang menyalah ertikan tentang maksud cinta dan rindu sehingga terlalu berlebih-lebihan di dalam melaksanakan maksud cinta yang dicipta oleh mereka dengan melakukan perkara-perkara maksiat. Tidak dapat dinafikan ada yang sanggup berzina dengan pasangannya hanya dengan menggunakan istilah “cinta” dan “rindu”.

Mungkin kerana wujud golongan yang menyalahgunakan erti sebenar cinta, maka golongan remaja yang menjaga peribadi mereka juga turut memandang serong terhadap cinta.

Cinta juga makhluk. Rindu juga makhluk ciptaan Allah Ta'ala. Seseorang akan menjadi musuh terhadap sesuatu yang dia tidak kenali dengan mendalam. Kalau ingin membenci cinta maka sepatutnya perlu berlaku adil padanya. Perlu kenal apa itu cinta terlebih dahulu. Perlu kenal apa itu rindu terlebih dahulu.

Cinta, rindu dan cemburu merupakan tiga perkara yang tidak boleh kita nafikan kewujudannya. Ketiga-tiga perkara ini wujud di dalam hati sanubari seseorang. Ianya juga banyak membantu di dalam kehidupan seseorang. Ya benar, Allah Ta'ala tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia melainkan perkara itu ada tugasnya tersendiri. Lemahnya adalah kita yang tidak mampu mencari hikmahnya.

Tanpa cinta, kita tidak akan wujud di dunia ini. Tanpa cinta seseorang boleh berlaku kejam terhadap keluarganya. Tanpa cinta dunia akan gelap gelita tanpa sinar.

Kerana kurangnya rasa cintalah yang menyebabkan seseorang itu berlaku kejam terhadap saudaranya. Begitu juga rindu dan cemburu. Tanpa cemburu seseorang boleh membiarkan kekasihnya melakukan maksiat. Tanpa cemburu maka seorang isteri akan membiarkan suaminya bermain kayu tiga dan tanpa cemburu jugalah menyebabkan seseorang akan membiarkan hatinya dipermainkan orang lain.

Saya tertarik untuk membincangkan perkara ini. Sama-sama ikuti moga kita mendapat manfaatnya.

Cinta menurut al-Qadhi al-Syeikh Muhammad Ahmad Kan’an di dalam kitabnya Usul al-Muasyarah al-Zaujiyah ialah kecenderungan hati terhadap perkara yang dicintai. Cinta sebenarnya adalah perbuatan dan amalan hati. Bukan amalan anggota badan.

Tanpa cinta ini maka perkahwinan tidak akan berjaya dan bahagia. Perlu difahami dengan baik, yang memberikan kebahagian dan ketenangan bukanlah zat cinta itu sendiri, bahkan yang memberikannya kepada kita ialah Pemilik Cinta itu sendiri iaitu Allah Yang Maha Pencinta dan Pengasih. Cuma cinta ini sebagai satu wasilah bagi mencapai ketenangan itu.

Menurut al-Qadhi Muhammad Kan’an lagi, kunci utama kepada cinta bermula dengan pandangan mata. Oleh sebab itulah Baginda Sallallahu alaihi wasallam menggalakkan kepada seseorang yang ingin bertunang agar melihat terlebih dahulu kepada tunangnya. Agar bertambah rasa cinta dan rindu.

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Nasa’ie rahimahumallah daripada Saidina Syukbah Radhiyallahu 'anhu katanya:

خطبت امرأة فقال لي رسول الله صلى الله عليه و سلم: هل نظرتَ إليها ؟ قلتُ : لا , قال : فانظر إليها فإنه أحرى أن يؤدَمَ بينكما

Maksudnya: "Aku telah meminang seorang wanita. Maka Baginda Sallallahu alaihi wasallam bertanya kepadaku: Adakah kamu telah melihatnya wahai Syukbah? Aku menjawab: Tidak, Ya Rasulallah. Maka sabda Baginda Sallallahu alaihi wasallam: Lihatlah padanya, sesungguhnya dengan melihat itu akan menjadikan kamu berdua merasa lebih serasi dan berkenan."

Sesuatu yang perlu kita fahami ialah cinta sebenar adalah cinta yang ingin dibina atas dasar iman. Maksud saya bukan sekadar bercinta tetapi meletakkan bahawa wanita yang dicintainya dan lelaki yang dicintainya akan dijadikannya sebagai isteri dan suami. Sabda Baginda Sallallahu alaihi wasallam daripada Saidina Ibn Abbas Radhiyallahu anhuma:

لم يُرَ للمتحبَين مثل النكاح

Maksudnya: "Tidaklah dilihat kepada dua orang yang sedang bercinta melainkan pernikahan."

Menjadi kesalahan pada remaja sekarang dengan menggunakan nama cinta seperti yang dilakukan oleh remaja di Barat. Cinta hanya digunakan untuk memuaskan nafsu serakah dan keinginan yang tak terbendung. Ini satu kefahaman yang jelas bertentangan dengan maksud sebenar cinta yang dianjurkan syarak. Cinta yang mereka bina bukan untuk membimbing pasangan menuju redha Allah Ta'ala, malah menjerumuskan ke lembah kehinaan dengan dosa dan noda yang mereka lakukan ketika bercinta.

Kesalahfahaman sebeginilah yang menyebabkan seseorang itu menganggap golongan yang berbicara tentang cinta sebagai golongan yang telah lari daripada jalan tuhan. Seolah-olah meraka telah jauh daripada Allah Ta'ala dengan membicarakan cinta yang dianggap oleh mereka sebagai sesuatu yang jijik untuk dibicarakan oleh para ulama khususnya.

Cinta merupakan kecenderungan hati seseorang kepada kekasihnya. Amalan hati tidaklah dikira dosa selagi tidak melaksanakan apa yang terpendam di dalam hati. Seseorang itu tidaklah mampu baginya menghalang kecenderungan hatinya terhadap seseorang.

Sebaliknya yang akan dinilai oleh Allah Ta'ala adalah perbuatan orang bercinta itu. Jika perbuatan yang mereka lakukan menjurus kepada nafsu dan dosa maka inilah yang akan dinilai dan disoal oleh Allah Ta'ala kelak.

Perkara yang paling selamat bagi menyelamatkan cinta sejati daripada dinodai dosa dan noda ialah dengan menjauhkan segala perkara yang boleh menjurus ke arahnya. Perkahwinan adalah satu cara yang terbaik untuk menyemai cinta sebenar yang dikehendaki syarak.

Namun tidaklah saya nafikan wujudnya percintaan sebelum perkahwinan. Oleh sebab itulah syarak meletakkan adanya pertunangan. Tidak lain untuk menyemai cinta dan rasa keserasian antara kedua pasangan tersebut. Batasnya perlu dijaga. Jika tidak dijaga maka inilah yang akan membawa kemudharatan dan kepincangan di dalam memahami maksud cinta itu sendiri.

Saya benar-benar tertarik untuk membicarakan tentang cinta ini setelah membaca sebahagian daripada buku karangan Al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi Rahimahullah (384H-456H). Kitabnya yang berjudul Thuqul Hamamah fi ilfati wal allaf benar-benar memberikan kesan yang mendalam terhadap saya berkenaan cinta.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi rahimahullah adalah Guru Besar saya di dalam cinta. Kitab ini ada terjemahannya yang sangat indah bahasa terjemahnya. Ianya diterjemahkan oleh Habiburrahman al-Syirazy, penulis novel Ayat-ayat Cinta.

Saya mencadangkan kepada sesiapa yang ingin mengenal cinta agar membaca buku ini. Sesiapa yang pandai membaca kitab berbahasa Arab sebaiknya terus mendapatkan pemahaman tentang cinta daripada karangan al-Imam Ibn Hazm rahimahullah sendiri. Moga kalian lebih memahami tentang cinta.

Sambungan tentang rindu akan saya bicarakan pada post yang akan datang. Doakan moga diberikan kelapangan oleh Allah taala pemilik cinta yang agung. 
 
Wallahu a’lam.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR

Bicara Tentang Rindu

Alhamdulillah diberikan juga peluang oleh Allah Ta'ala untuk tulis post yang terbaru ini. Kali ini kita akan berbicara tentang rindu. Pada post yang lepas saya telah bicarakan tentang cinta dan hakikatnya.

Kesinambungan daripada cinta maka akan terbit perasaan rindu pada yang dicintai. Para pejuang Allah Ta'ala yang mencintai Tuhannya pasti akan merindui syahid. Seorang suami yang mencintai isterinya pasti akan merindui isterinya jika berjauhan. Begitulah seterusnya.

Rindu menurut para ulama ialah sesuatu perkara yang berlaku kerana terlalu mencintai seseorang. Maka terkadang rindu dibaluti dengan sikap berjaga-jaga. Terkadang ada juga yang terlalu berlebih-lebihan dalam mengungkapkan kalimah rindu sehingga melangkaui batas yang diletakkan oleh Syarak.

Bukanlah semua rindu itu sesuatu yang tidak baik dan menjijikkan. Kerana rindu yang dihiasi dengan iman dan taqwa akan menatijahkan sesuatu yang terbaik bagi sang perindu.

Rindu seperti yang kita ketahui, merupakan perkara yang berlaku selepas hadirnya cinta. Maksudnya, bila cinta mekar maka rindu akan hadir secara tidak langsung. Rindu juga adalah merupakan amalan hati yang mana manusia tiada kuasa untuk menghalangnya.

Menurut Syeikh al-Qadhi Muhammad Ahmad Kan’an, seorang perindu yang benar-benar menjaga dan menyembunyikan perasaan tersebut daripada pengetahuan orang lain akan mendapat pahala dan ganjaran di atas mujahadah yang dilakukannya. Bahkan al-Imam Tahtawi Radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam hasyiyah Muraqi al-Falah (kitab fiqh Mazhab Abu Hanifah) , beliau menukilkan perkataan daripada al-Imam Suyuti Radhiyallahu anhu:

“Orang yang menyembunyikan perasaan rindu sebegini kepada seseorang yang dirinduinya maka jika dia mati dalam keadaan tersebut akan mendapat ganjaran seumpama golongan Syahid akhirat.”

Biar kefahaman lebih jelas, elok kiranya saya terangkan pembahagian syahid di sisi para ulama. Terdapat tiga jenis syahid seperti yang diterangkan oleh para ulama yang mensyarahkan kitab Jauharah Tauhid.

Pertama: Syahid Dunia- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah (berjihad) tetapi niat mereka bukanlah ikhlas kerana Allah Ta'ala, malah untuk mendapatkan pujian dan penghargaan. Maka jika mereka mati ketika berperang dalam keadaan sebegini akan digelarkan Syahid dunia. Ini kerana semua orang melihat seolah-olah mereka mati syahid di dunia ini sedangkan mereka langsung tidak mendapatkan apa-apa ganjaran di sisi Allah Ta'ala di akhirat kelak.

Kedua: Syahid Akhirat- Ini merupakan golongan yang pada pandangan mata manusia mereka tidaklah kelihatan sedang berperang di jalan Allah Ta'ala. Tetapi jika mereka mati maka mereka akan memperolehi pahala dan ganjaran seumpama orang yang mati syahid. Contohnya seperti yang disebutkan di dalam hadis Baginda Sallallahu alaihi wasallam, ibu yang mati ketika melahirkan anaknya, orang yang mati kerana lemas, orang yang mati kerana sakit perut dan taun, orang yang mati kerana menahan rindu dan cinta terhadap seseorang dan dia menjaga dirinya, orang yang mati ketika menuntut ilmu dan lain-lain. Secara zahirnya kita langsung tidak melihat mereka mati dalam keadaan syahid. Tetapi di akhirat kelak, mereka akan mendapatkan ganjaran seperti orang yang mati syahid. Oleh kerana itulah mereka digelarkan Syahid Akhirat.

Ketiga: Syahid Dunia dan Akhirat- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah taala dan mereka benar-benar ikhlas di jalan Allah. Jika mereka terbunuh ketika peperangan tersebut maka mereka digelarkan syahid dunia dan akhirat. Ini kerana di dunia manusia semua menjadi saksi bahawa golongan ini berjuang dan di akhirat juga mereka akan datang dengan pahala sebagai orang yang mati syahid di jalan Allah Ta'ala.

Maka jelaslah bagi kita, sang perindu juga (sama ada wanita atau lelaki) yang benar-benar menjaga rindunya terhadap kekasihnya dengan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Syarak maka jika dia mati di dalam keadaan sebegini akan memperolehi pahala orang yang syahid di akhirat kelak. Moga Allah menggolongkan kita dikalangan orang yang bersikap perindu sebegini.

Jika kita memahami sebenar-benarnya maksud yang diterangkan oleh ulama, maka kita akan merasa tenang hati. Masih ramai yang tidak memahami maksud rindu dan cinta. Malah sehingga menganggap jika seseorang mencintai seseorang yang lain maka sebenarnya dia telah melakukan sesuatu yang dicegah oleh syarak. Fahaman sebegini perlulah diperbetulkan. Kesalahannya bukan pada sifat cinta tersebut, yang menjadi kesalahannya ialah bagaimana orang yang punya perasaan cinta itu menunjukkan kecintaannya dan kerinduannya.

Islam adalah agama fitrah. Cinta dan rindu adalah fitrah seorang insan. Islam datang untuk menunjukkan cara sebenar mengendalikan cinta dan rindu. Bukannya menafikan rindu dan cinta itu hadir dalam kehidupan seseorang.

Perbuatan orang yang bercinta itu yang perlu dipersoalkan kerana mendahulukan nafsu daripada iman yang terdapat dalam sanubari mereka.

Jangan terlalu membenci cinta. Sudah banyak saya perhatikan orang yang menentang cinta yang hadir dalam dirinya dengan tentangan yang padu, akhirnya dia sendiri tersungkur dan menjadi orang yang lebih teruk daripada orang yang tidak membenci cinta sepertinya.

Saya menulis sebegini bukan untuk mengalakkan pasangan untuk bercinta. Bukan itu tujuan saya. Tujuan saya biarlah orang benar-benar faham apa itu cinta yang dimaksudkan oleh syarak. Apa itu rindu yang sebenar. Cinta dan rindu bukan hanya tertumpu pada lelaki dan wanita. Jika difahami sedemikian maka terlalu sempit pemahamannya. Cinta dan rindu itu umum.

Tanpa cinta maka kita akan berbalah tanpa meletakkan sedikit kecintaan pada sahabat seagama kita. Tanpa cinta maka kita tidak akan memandang seseorang yang berbeza pendapat dengan kita dengan pandangan yang mulia. Tanpa cinta semua akan jadi pincang. Ini hikmahnya Allah Ta'ala ciptakan cinta. Bukan untuk disalah gunakan. Tapi untuk dimanfaatkan sebaiknya.

Biar orang membenci, tapi hati kita tetap mencintai.Biar orang lupakan kita, tapi kita tetap merindui. Fikir-fikirkanlah.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR

Berbakti kepada ibu

بسم الله الرّحمن الرّحيم
الهمّ صلّ على سيّدنا محمّد

Mampukah saya menjadi seorang anak seperti Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu anhu yang seringkali dibanggai oleh ibunya. Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu anhu seringkali mengucapkan salam pada ibunya dengan lafaz :

Allahu Akbar, saya sering tertanya-tanya sendiri, adakah ayah dan ibu saya gembira dan berbangga dengan saya sekarang? Ya, saya tidak punya apa-apa. Tidak punya sijil pengajian lagi, masih bertatih dalam pengajian. Cuma sekeping hati yang terlalu cintakan agamaNya sahajalah yang menjadi hadiah buat mereka berdua.

CERITA AL-IMAM HAIWAH BIN SYURAIH

Saya memang tidak akan dapat menjadi anak sehebat al-Imam Haiwah bin Syuraih rahimahullah (wafat 159 H), seorang ulama hadis yang sangat agung dan dimaqamkan di Mesir. Majlisnya dihadiri ribuan murid yang menuntut tinggalan agung Baginda sallallahu alaihi wasallam. Namun ketinggian budinya dengan ibunyalah yang menyebabkan beliau disebut-sebut di dalam sejarah.

Pernah satu hari ibunya datang ketika beliau sedang mengajar hadis. Kata ibunya kepada ulama besar ini:

“Wahai Haiwah, cepat bangun dan tolong siatkan dan potongkan ayam untukkuز”

Apakah reaksi seorang imam besar hadis ini? Tidak tahukah ibunya bahawa anaknya sedang mengajar hadis di hadapan ribuan penuntut?

Sang Imam terus bangun meninggalkan majlis hadis tersebut dan murid-muridnya bagi menyelesaikan urusan ibunya. Beliau membuat seperti apa yang diarahkan ibunya tersebut. MasyaAllah. Tidak hairan namamu disebut-sebut sehingga sekarang.

Tahukah kalian berapakah pendapatan Sang Imam ini berkat mentaati ibunya? Pendapatannya sebulan adalah sebanyak 60 dinar bersamaan RM 687 × 60 = RM 41220.

Namun, kesemuanya akan disedekahkan kepada faqir miskin dan golongan yang memerlukan. Kesemuanya disedekahkan tanpa tinggal walau satu dirham sekalipun. Tetapi, setelah pulang ke rumah, jika Sang Imam menyelak hamparan tidurnya maka 60 dinar itu kembali ada kepadanya. Digantikan oleh Allah Ta'ala berkat ketaatannya kepada Allah dan kebaikannya kepada ibunya.

Pernah sekali beliau dilihat di dalam keadaan yang sangat dhoif. Tiada makanan yang mampu untuk beliau beli kerana ketiadaan wang. Maka seorang lelaki mengatakan kepada beliau:

“Wahai Imam, mengapa engkau tidak berdoa kepada Allah Ta'ala semoga diberikan rezeki kepadamu?”

Beliau terus mengambil segenggam pasir ditangannya lalu melemparkannya ke arah lelaki tersebut. Pasir itu bertaburan dan yang kekal di tangannya telah bertukar menjadi emas.  Lalu beliau berkata kepada lelaki itu:

“Kamu nak lagi suruh aku berdoa kepada Allah Ta'ala setelah melihat perkara sebegini boleh berlaku?”

Maksudnya, Sang Imam ingin mengajar kepada lelaki tersebut agar jangan memandang kefakiran tersebut sebagai bala Allah Ta'ala kepadanya. Sedangkan kefakiran tersebut adalah cara untuk Sang Imam lebih berharap dan mengingati Allah Ta'ala.

Bagaimana Sang Imam boleh mendapatkan nikmat dan kelebihan sedemikian rupa? Tidak lain hanyalah kerana ketaatannya kepada Allah dan Rasul serta kebaikkannya kepada Ibu dan Bapa beliau.

Semoga saya mampu menjadi seperti para ulama tersebut. Mentaati ibu bapa tanpa berbelah bahagi. Umur semakin meningkat maksudnya perjalanan kita menuju Allah Ta'ala semakin hampir. Semakin umur meningkat, semakin hampir kita merendah ke dalam bumi.

Amal yang ada sudah tentu tidak mencukupi untuk membeli syurgaMu Ya Allah. Hanya cinta kepadaMu dan Baginda Rasul sallallahu alaihi wasallam serta ketaatanku kepada kedua ibu bapaku sahajalah yang mungkin melayakkan aku ke sana. Amin Ya Rabb..
 
Ustaz Nazrul Nasir Al-Azhari Asy-Syafi'e 

Ijtimak PiIihanraya Dan Munajat Perdana

Mesyuarat PAS Pusat yang diadakan pada 13hb Mei yang lalu telah membuat keputusan menangguh Muktamar yang dijadualkan awal Jun dan menggantikannya dengan Ijtimak Pilihanraya dan Munajat Perdana yang akan diadakan pada 1hb Jun 2012 di Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah.

Seluruh kepimpinan parti perlu membuat persiapan awal bagi memastikan matlamat himpunan lebih 100,000 ini mencapai kejayaan. Setiap ahli perlu mengambil inisiatif sendiri untuk hadir dalam himpunan perdana ini.

Ijtimak bermula dengan satu taklimat tertutup kepimpinan tertinggi parti seluruh negara dan ahli yang berhormat bersama Presiden bermula jam 10 pagi di kompleks PAS negeri.

Manakala himpunan untuk semua ahli PAS bermula seawal jam 4 petang dan dijangka berakhir jam 12 malam. Bawalah apa-apa yang perlu untuk keselesaan munajat. 

Semua program parti yang bertindih dengan program ijtimak pilihanraya hendaklah ditangguhkan.

Munajat perdana insya-Allah akan dipimpin sendiri oleh Murshidul Am Tuan Guru Nik Abd Aziz, manakala amanat Presiden akan menjadi acara kemuncak ijtimak dan berakhir dengan pembacaan ikrar oleh seluruh ahli PAS, sebagai baiah dan janji setia bagi menggarap usaha bagi mencapai kemenangan.

Ijtimak kali ini juga akan disertai oleh  beberapa tokoh besar yang menyatakan kesediaan untuk turut sama bergabung dalam PAS. Mereka akan diisytihar secara rasmi bagi menyatakan ikrar dan sokongan mereka kepada parti. 

Semua ahli diseru menjadikan ijtimak kali ini sebagai pemangkin kepada pembinaan semangat juang yang tinggi kepada seluruh jentera, ahli dan penyokong parti. Semoga majlis diberkati Allah.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Jagalah Hati [Maksiat Hati]

Tulah bila keegoan membatasi segalanya.... Orang boleh nampak pandangan bodoh pada kita..
Mengaku kalah bukan beerti kalah bahkan satu kemuliaan sebagai pimpinan jangan ingat kita pimpinan kita je mesti menang. Orang di bawah kita tak layak menang...
Akak bukan nak salahkan sesiapa dalam hal ni. Masing-masing salah dan masing-masing betul.

Beralah bukan bermaksud kalah.
Cuba latih diri buang sikap ego........ Kenapa boleh kita rendahkan ego bila sujud di depan Allah tapi bila di luar solat kita ego dengan manusia.... Pesanan untuk diri sendiri yang kadang-kadang ego jugak....

Bukan senang nak mujahadah nafsu binatang kita ini...

Jazakallahu khairan kathira kepada yang menasihati diri ini.

Bersama Al-Fadhil Ustaz Rusli Md. Zain Al-Farqawi

SBE Sem 3 di Sg. Udang, Melaka

SBE Sem 3 di Sg. Udang, Melaka

Bersama Tn.Guru Hj. Zulkifli bin Ismail Baitul Qurra

Maulidur Rasul bersama Ulama'

Maulidur Rasul bersama Ulama'

Bersama Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman

Para Masyaikh Murobitun

Bersama Syeikh Zainul Asri bin Romli Al-Husaini

Lambaian Mahabbaturrasul

Lambaian Mahabbaturrasul

Ijtima Ulama' Turath 2012

Ijtima Ulama' Turath 2012

Bersama al-Muhtaram Al-Ustaz Muhadir bin Haji Joll As-Sanariyy